Jumaat, 10 Oktober 2008

Nasi Ayam Hainan

TERDAPAT beraneka jenis nasi ayam untuk dihidangkan pada musim perayaan. Ini adalah antara menu paling popular bagi meraikan kedatangan saudara-mara yang bertandang ke rumah anda. Ayamnya tidak digoreng, sebaliknya hanya direbus. Jadi, warna kulit ayam tidak kecoklatan. Isinya juga tidak garing malah lembut dan begitu digemari oleh kebanyakan orang terutama kanak-kanak.

Nasi ayam Hainan juga pilihan yang menyihatkan kerana ayamnya tidak digoreng. Ini juga bermakna cara memasaknya amat ringkas. Yang penting sekali, bahan gorengan merupakan penyebab utama masalah obesiti terutama di negara kita. Jadi, untuk mengelakkan kegemukan, lebih baik memilih makanan yang dikukus dan direbus.

Walaupun nasi ayam ini tidak menggunakan minyak, ia menggunakan lemak ayam. Jika anda tidak suka cara ini, boleh sediakan dengan minyak tanpa kolesterol. Bagi yang benar-benar ingin mengelak daripada mempergunakan sebarang jenis minyak (kerana kadar lemak di dalam minyak adalah tinggi), ikuti cara ini.

Jerang halia, bawang putih, air dan stok ayam bersama beras di dalam periuk nasi elektrik. Tambah sedikit garam jika perlu. Tanaklah nasi seperti biasa sehingga kering. Dengan menggunakan beras wangi, nasi ayam menjadi lebih harum dan istimewa.

Anda perlu membeli ayam yang mempunyai kulit untuk mendapatkan lemak. Lemak banyak terdapat di bahagian leher dan bawah perut ayam. Jerang bersama air di atas api perlahan. Minyak dari lemak akan terbit dan air tersebut akan hilang sebagai wap. Minyak ayam inilah yang akan membuatkan nasi ayam lebih sedap.

Bagi yang merasakan beras wangi mahal, boleh gunakan beras biasa atau campuran kedua-duanya. Ini bermakna, 300 gm beras wangi dan 300 gm beras biasa. Untuk lebih khasiat, boleh juga gunakan beras perang. Namun sukatan airnya berbeza.

Begitu juga dengan beras Basmathi. Sebagai asas memasak beriani dengan beras Basmathi, bagi setiap 500 gm Basmathi, anda perlu gunakan 900 ml air. Sesetengah beriani memerlukan anda merendam beras terlebih dahulu supaya ia mudah dan cepat masak. Resipi yang lain mungkin menggunakan dadih supaya nasi beriani menjadi lebih lembut dan enak.

Anda perlu mengikut cara menyediakan ayam dengan terperinci. Ini adalah untuk mengelakkan ayam tidak masak elok. Pastikan anda mencatatkan masa anda memasukkan ayam ke dalam air yang sedang mendidih. Jika ayam agak besar saiznya, biar selama 20 minit.

Kemudian tulis pula masa anda perlu memadamkan api dan menutup periuk. Selalunya mengambil masa 20 hingga 25 minit. Buat kiraan dan catatkan pula masa ayam perlu dikeluarkan daripada supnya. Jika catatan tidak dibuat, anda tentu akan lupa dan tertanya-tanya berapa minit sudah berlalu.

Sebagai panduan, untuk mengetahui sekiranya isi ayam sudah masak, cucuk di bahagian paling tebal seperti dada dengan lidi atau besi pemanggang. Jika air yang terbit berwarna kemerah-merahan, itu bererti ayam belum masak elok. Jika airnya cerah atau jernih, ayam sudah masak.

Pastikan juga ayam diterbalikkan sekali supaya ia masak dengan sempurna di bahagian atas dan bawah. Setelah dikeluarkan, ayam mesti direndam dalam air sejuk. Caranya adalah mencampurkan ais ke dalam bekas besar berisi air biasa atau air paip.

Setelah kira-kira 5 minit, ayam perlu dikeluarkan dan digantung atau sejatkan. Ini adalah untuk mengeringkannya supaya mudah dipotong kemudian. Jika tidak, isinya akan mengandungi terlalu banyak air sekali gus merosakkan rasa nasi ayam secara keseluruhan.

Nasi ayam Hainan juga disajikan dengan sos atau pencicah halia dan bawang putih tumbuk bercampur jus limau kasturi. Selain itu, ada sup, kicap dan sos cili. Meskipun penyediaan nasi ayam ini agak rumit, namun apabila anda menikmati keenakannya, anda akan dapati masa yang diambil untuk membuatnya adalah berbaloi.