Jumaat, 12 September 2008

Yee Mi Berkuah

SELAIN mi kuning, bihun dan kuey teow, yee mi sangat popular sebagai salah satu hidangan semasa berbuka puasa. Namun, ramai yang masih tidak yakin bagaimana hendak membuatnya. Yee mi adalah sejenis mi kering dan boleh disimpan lama pada suhu bilik. Bentuknya bulat dan disusun menegak di dalam plastik lutsinar.

Kita mungkin tidak asing dengan sizzling yee mi yang dihidangkan di atas hot plate. Ia mudah dibeli di mana-mana medan selera yang besar. Walaupun masakan kali ini nampak seperti itu tetapi rasanya berbeza dan ia agak mudah disediakan.

Yee mi amat senang digunakan kerana anda hanya perlu merendamnya di dalam air mendidih. Setelah ia nampak lembut, tuangkan ke dalam bekas penyejat untuk membuang airnya. Kemudian kecaikan dengan garpu atau kayu penyepit. Anda boleh juga menggaulkannya dengan sedikit minyak masak. Ini untuk mengelakkan ia melekat.

Ternyata yee mi lebih cepat lembut berbanding pasta yang perlu direbus sekurang-kurangnya selama 15 minit. Sekiranya tetamu datang ke rumah secara tiba-tiba, anda boleh menyediakan hidangan ini dalam masa tidak sampai 20 minit. Yee mi juga tahan lama dan harganya juga berpatutan.

Seperkara lagi adalah yee mi tidak mudah kembang walaupun terendam lama di dalam kuah. Ini berbeza dengan mi kuning atau bihun. Seandainya sukar membeli yee mi, anda boleh gantikan dengan mi kuning atau mi siput. Bagi yang inginkan kelainan, boleh juga gunakan pasta seperti makaroni dan lain-lain.

Semua sos yang diperlukan untuk hidangan ini boleh dibeli di mana-mana pasar raya. Jika sukar mendapatkan sos Hoisin, anda boleh gantikan dengan taucu. Ambil kira-kira tiga camca besar taucu, kemudian jiruskan air untuk membuang lebihan garam. Cincang halus taucu dan tambahkan air untuk mendapatkan 80 ml (lebih kurang sepertiga cawan). Masakan tidak perlu ditambah dengan garam kerana taucu sudah masin.

Seandainya anda inginkan kuahnya pedas, tambah beberapa sudu pes cili atau serbuk cili. Masukkan ketika menumis bawang. Ini penting kerana pes cili itu hendaklah betul-betul masak sebelum memasukkan ayam.

Jika suka daging, anda perlu menambah air biasa ke dalamnya dulu. Bila mendidih, perlahankan api dan tutup periuk. Proses ini dinamakan merenih. Namun, perlulah dikacau sekali-sekala.

Bila daging sudah empuk, barulah ditambah dengan bahan sos. Daging juga boleh direbus secara berasingan sehingga empuk. Air rebusannya mesti dicampurkan ke dalam kuah supaya kuah menjadi lebih sedap.

Untuk menjimatkan masa, mungkin anda perlu menggantikan ayam atau daging dengan udang atau sotong. Malah isi ikan merah dan tenggiri juga sesuai untuk digunakan. Semuanya terpulang pada bajet masing-masing.

Isi kupang akan memaniskan lagi kuah. Ia sudah siap dijual tanpa kulit dan anda boleh terus gunakan. Sekiranya hendak digantikan dengan kerang, juga boleh. Sekiranya anda ingin menghidangkan masakan ini di dalam majlis, anda perlu mencelur sawi. Ini adalah supaya ia boleh dihidangkan secara berasingan. Selain sawi, boleh gunakan kubis dan lobak merah.

Untuk menyedapkan hidangan, sediakan campuran cuka, air, gula, garam dan hirisan cili merah. Campurkan cili padi jika anda suka pedas. Taburkan bawang goreng dan hirisan daun bawang supaya hidangan lebih menyelerakan.

Tiada ulasan: